Thursday, 11 August 2011

Teknologi Hijau: Initiatif Penyelidikan

SHAH ALAM – Universiti Industri Selangor, UNISEL berbesar hati atas kesudian Kerajaan Negeri Selangor memberi sumbangan Geran Penyelidikan berjumlah RM 500 Ribu Ringgit untuk program penyelidikan Teknologi Hijau dan Pertanian Bersepadu UNISEL. Majlis penyerahan cek ini akan disempurnakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, YB Dr. Halimah Binti Ali kepada Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Datuk Dr. Rosti Saruwono.

Sebagai sebuah institusi akademik di Malaysia, khususnya di Selangor, UNISEL akan melaksanakan beberapa projek penyelidikan yang berteraskan teknologi-hijau dengan menebus guna tasik-tasik dan kawasan-kawasan tanah terbiar di kampus UNISEL Bestari Jaya. Projek-projek ini akan dijadikan “teaching factories/laboratories” bukan sahaja kepada warga UNISEL, tetapi juga kepada rakyat negeri Selangor yang berminat dengan teknologi-hijau.

Tiga projek telah dikenalpasti bagi menjayakan teknologi-hijau yang telah pun dibincangkan. Projek penyelidikan alam sekitar yang melibatkan akuakultur akan diutamakan, di mana projek ini akan menggembelingkan tenaga pakar daripada UNISEL, dalam Negara dan juga peringkat antarabangsa. UNISEL juga telah pun membangunkan program akademik akuakultur di peringkat diploma, di mana pensyarah dan pelajar di bidang ini akan mendapat faedah secara langsung. Tiga Projek yang dimaksudkan ialah:

1. Projek Penyelidikan  I

Kajian tentang sumber-sumber akuatik di persekitaran berhampiran kampus Bestari Jaya. Bertujuan untuk mengumpul data saintifik bagi mendapat informasi tentang keadaan tasik-tasik dan sungai-sungai di Bestari Jaya, terutamanya di dalam kawasan kampus dan persekitarannya. Data sainstifik ini sangat penting bagi perancangan untuk pembersihan dan penggunaan sumber air berkenaan. Jangka masa projek ini adalah selama 9 bulan.

1. Projek Penyelidikan II

Kajian tentang tanah, flora dan fauna di sekitar Bestari Jaya. Bertujuan untuk mengumpul data saintifik bagi mendapat informasi tentang keadaan kawasan tanah yang terbiar di sekitar Bestari Jaya, terutamanya di dalam kawasan fasa II kampus dan persekitarannya. Data sainstifik ini sangat penting bagi perancangan pertanian untuk menghasilkan sumber makanan manusia, haiwan dan perikanan. Jangka masa projek ini adalah selama 9 bulan.

1. Projek Penyelidikan III

Penubuhan “teaching laboratory/factory” bagi projek akuakultur di tasik-tasik dan kawasan di sekitar tasik kampus Bestari Jaya berteraskan teknologi-hijau. Akuakultur dalam konteks ini berteraskan teknologi-hijau meliputi:
i . Menerajui penyelidikan penternakan ikan air tawar di Selangor dan kawasan yang berhampiran.
ii . Memajukan industri makanan ikan air tawar melalui aktiviti R&D di Unisel.
iii . Menjalankan penyelidikan pembenihan ikan yang berkualiti.
iv . Pemeliharaan ikan air tawar seperti ikan keli, puyu, talapia, patin, dan lain-lain jenis yang mempunyai harga pasaran yang baik dan sesuai diternak di sekitar Unisel.
v . Pemasaran ikan dan anak ikan yang dipelihara.
vi . Memajukan industri hijau dan menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan usahawan tempatan dalam bidang berkaitan dengan ternakan ikan air tawar.
vii . Menggalakkan graduan Unisel menyertai program pembentukan usahawan kelompok.
viii . Menjalankan program-program berkala bagi penternak ikan air tawar berskala kecil.

UNISEL dalam pada itu mensasarkan projek ini dijangka berupaya menjana pendapatan bagi bagi proses kelansungan tanpa bantuan kewangan selepas satu tahun ianya beroperasi.

Teknologi-hijau atau juga dikenali sebagai teknologi-bersih atau teknologi-alam sekitar adalah suatu applikasi sains dan teknologi bagi memelihara sumber dan persekitaran semulajadi; di samping juga menghindar kesan negatif ke atas alam semulajadi yang diakibatkan oleh angkara manusia sendiri. Pembangunan terpelihara dan “sustainable” adalah teras kepada teknologi-alamsekitar. Pembangunan ekonomi yang dapat mengekalkan alamsekitar mestilah (Honkanen and Olsen, 2009; Olsen, 2008; Schacht et al. ,2010) “Socially equitable, Economically viable and Environmentally sound”.

Selain daripada pengekalan alam sekitar, produk yang dihasilkan mestilah boleh ditebus guna sepenuhnya atau dipakai semula. Yang paling penting di dalam pelaksanaan teknologi-hijau adalah pengurangan pencemaran, inovasi, dan penghasilan teknologi alternatif yang tidak memberi kesan negatif kepada kesihatan dan persekitaran. Teknologi-hijau akan menghasilkan produk yang boleh memberi faedah kepada persekitaran dan memperkenalkan kerja-kerja baru yang betul-betul boleh menyelamatkan planet bumi. Kesedaran betapa pentingnya pendidikan bagi teknologi-hijau amatlah penting bukan sahaja kepada warga UNISEL atau Selangor khususnya, tetapi juga kepada seluruh Negara amnya.

No comments:

Post a Comment